Friday, January 2, 2009

Air mata beku di Valladolid (Spain)

Petikan dari email Pn Radhiah a.k.a Senora (mantan penasihat dan pengiring DEMI). Beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam kesusasteraan bahasa sepanyol.


29 hb november 2008 (Sabtu) pukul 12.30 tengahari waktu tempatan kira-kira pukul 6.30 petang waktu Malaysia aku, suami dan anak-anak selamat tiba di Madrid. Dari Madrid kami menaiki teksi ke Valladolid yang jauhnya kira-kira 250 kilometer. Sepanjang perjalanan mata dijamu pemandangan indah yang sebelum ini hanya ditatap di dalam lukisan. Ladang-ladang saujana mata memandang serta salji yang menimbus gunung-ganang. Tiada gambar seindah lukisan, namun indah lagi panorama yang dinikmati di sepanjang perjalanan. Aku bersyukur menjadi pekerja kerajaan yang dengan sebab itu aku berpeluang melanjut pelajaran dan berkunjung ke negara indah ini.


Setiba di Valladolid hari telah gelap dan kedinginan mencucuk tulang-temulang hitam. Untuk sementara waktu kami menginap di hotel murah yang dipanggil ‘pensión’. 1 hb disember 2008 (Isnin) aku ditemani suami dan anak-anak mendaftar di Fakulti Filosofi dan Kesusasteraan Universiti Valladolid. Alhamdulillah tiada masalah ketika pendaftaran malah kedatanganku memang telah lama ditunggu-tunggu oleh pensyarah-pensyarah di sini termasuk pensyarah penyelia yang telah ditentukan untukku iaitu Profesor Dr. Emilio Ridruejo Alonso. Ini kerana tarikh sebenar pendaftaran ialah pada 17-21 hb november 2008. Kelewatanku tiba adalah disebabkan oleh karenah birokrasi di negaraku sendiri Malaysia. Aku bersyukur kerana pihak universiti Valladolid telah bermurah hati membenarku mendaftar lewat meskipun ia tidak pernah berlaku sebelum ini.


Valladolid lebih sejuk daripada peti ais. Tahap kesejukkannya bukan sekadar menggigit, malah mengisar lumat tulang temulang hitamku. Namun, angin dingin di Valladolid hanya dingin di kulit dan tulang, tetapi tidak di hati dan perasaan. Hatiku panas. Perasaanku terbakar dipanggang rindu pada tanah air tercinta. Indahnya nusaku, nikmatnya berada di negaraku. Aku bersyukur dilahirkan sebagai seorang ‘Malaysian’!


Meski terlontar di bumi asing namun aku masih berpijak di bumi nyata dan tahu tinggi rendah langit yang di junjung. Allah masih dan akan selamanya berada ‘di atas’ dan di hatiku. Di sini segalanya ‘halal’, namun selagi iman dan taqwa masih di kalbu insyaallah keretapi hidupku akan terus meluncur laju tanpa tergelincir ke gaung nafsu. Sesungguhnya aku amat bersyukur dilahirkan sebagai seorang Islam!


2 hb disember 2008 (Selasa) aku dan suami mula menjelajah bandar Valladolid dalam misi kami mencari rumah sewa. Akhirnya pada 6 hb disember 2008 setelah 7 hari tidur di ‘pensión’ baru kami menemui rumah yang sesuai untuk disewa. Sesuai dari segi harganya, sesuai dari segi persekitarannya dan sesuai dari segala macam segi. Jarak rumah dari fakulti tempatku belajar hanya kira-kira 10 minit berjalan kaki. Sebelum itu selama 7 hari aku, suami dan anak-anak bergelut dengan segala macam dugaan dan cabaran yang bukan calang-calang beratnya. Kesukaran mendapatkan makanan halal, kehabisan bekalan makanan yang dibawa, perubahan cuaca dan budaya yang membekukan akal, dan yang paling mencabar adalah kesulitan untuk berkomunikasi dengan orang-orang di sini. Seramai manusia yang ku temui di Valladolid TIADA SEORANG pun yang boleh bertutur atau sekurang-kurangnya memahami bahasa Inggeris. Hatta pengurus di bank-bank terkemuka malah profesor-profesor di universiti, LANGSUNG tidak tahu berbahasa Inggeris! Memang aku boleh berbahasa Sepanyol tetapi dialek orang-orang di sini amat berbeza dan asing di telingaku. Aku perlu masa untuk memahami dan mengikut lenggok percakapan mereka yang teramat laju selaju keretapi laju di negara mereka. Aku bersyukur kerana Tuhan membuka pintu hatiku untuk belajar dan menguasai bahasa Sepanyol yang dengan sebab itu aku boleh ‘survive’ di sini, meskipun dengan nafas tercungap.


7 hb disember 2008 bermulalah kehidupan ku beserta suami dan anak-anak di rumah yang baru disewa. Rumah agak selesa dan segala perabot dan kelengkapan memang telah tersedia. Harga sewaan masih berada di paras rasional. Jiran-jiran tersangat okey malah bermurah hati membantu jika diperlukan. Dalam satu kejadian, sewaktu aku, suami dan anak-anak keluar untuk ke kedai kebab (satu-satunya restauran makanan halal yang kami temui di sini setakat ini) sekumpulan orang tua yang berada di satu perhentian bas berebut-rebut dan bergaduh sesama mereka hanya kerana ingin menyampaikan informasi tentang nombor bas yang perlu kami naiki untuk ke kedai kebab tersebut. Aku bersyukur berada dalam kejiranan yang perihatin begitu.


Namun yang paling ku syukuri adalah nikmat mendapat tuan rumah yang baik dan bertimbang rasa. Ramah, mesra, sabar serta ikhlas. Bermurah hati menurunkan sewa rumah, bersenang hati membekalkan kami segala kelengkapan (cadar, selimut, pinggang mangkuk, pencuci, segalanya) dan berbesar hati melayan karenah anak-anakku yang keletihan dan kelaparan serta berkali-kali berpesan jika dalam bulan-bulan tertentu kami kesuntukan wang maka bayaran sewa boleh ditangguhkan. Hatiku tersentuh apabila tuan rumah berkata ‘jangan kerana hendak membayar sewa, anak-anak sampai kelaparan tidak makan’. Di Valladolid tiada yang murah. Semuanya mahal, malah terlalu amat mahal. Bayangkan harga sekeping sandwich telur yang bersaiz sama di negara kita adalah setinggi RM17.00 (3.50 euros).


Sebelum berundur, disenaraikan keunikan-keunikan kehidupan dan orang-orang di sini dan perbandingannya dengan Malaysia. Semoga yang baik diikuti, yang buruk dijauhi.

1.Di sini, bahasa Inggeris adalah sampah yang mereka buang ke longkang busuk dan kotor. Di Malaysia, bahasa Inggeris adalah dewa yang dipuja dan dijunjung. Rakyat Malaysia malu jika tidak tahu berbahasa Inggeris. Orang-orang di sini maju tanpa mengetahui sepatah pun perkataan Inggeris.

2.Di sini tiada rempit, tiada ragut, tiada penculikan, tiada kecurian. Di Malaysia rempit berleluasa, ragut di sana sini, penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi, kecurian berlaku tanpa mengenal tempat dan waktu.

3. Orang-orang di sini amat berdisiplin di jalan raya dan mematuhi segala undang-undangnya. Di Malaysia jalan raya adalah tempat untuk menunjuk samseng dan undang-undang adalah untuk ditertawakan bukan dipatuhi.

4.Waktu bekerja hanya 5 jam sahaja sehari selama 5 hari seminggu. Selepas pukul dua segala urusan di pejabat, kaunter, bank dan sebagainya terhenti. Mereka pulang, berehat, tidur dan menghabiskan masa bersama anak-anak dan keluarga. Dalam masa 5 jam bekerja itu pula mereka bekerja secara profesional, tekun dan bersungguh-sungguh. Di Malaysia kita bekerja sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Lewat petang baru pulang. Anak ke mana keluarga ke mana.

5.Di sini, hari sabtu dan ahad adalah hari untuk berehat. Hatta pasaraya pun tidak dibuka selama dua hari itu. Bagi mereka pekerja pasaraya pun ada hak untuk menikmati hari minggu bersama keluarga dan anak-anak. Di Malaysia jika ada hari ke lapan, pun kelapan-lapan hari itu semua pasaraya akan dibuka dan beroperasi kerana bagi kita yang penting adalah WANG, bukan KEMANUSIAAN.

6.Tiada bangunan pencakar langit di sini. Valladolid dipenuhi bangunan-bangunan lama dan antik yang dipelihara dengan baik dan rapi. Pejabat-pejabat kerajaan hatta syarikat-syarikat swasta pun beroperasi di dalam bangunan-bangunan lama yang berusia beratus-ratus tahun. Senibinanya sangat indah dan mengkagumkan. Terdapat beratus-ratus dataran yang dipanggil ‘plaza’ yang setiap satunya mempunyai cerita dan sejarahnya yang tersendiri. Di setiap ‘plaza’ tersebut pula terdapat patung-patung atau arca yang sangat halus dan indah buatannya yang juga berusia beratus-ratus tahun.

7.Orang-orang di sini sangat profesional dan sistematik dalam segala hal. Dari penjual ikan hingga ke pekerja-pekerja kerajaan atau swasta bergred A. Semuanya, segalanya profesional. Tiada istilah ‘cincai’ atau ‘sempoi’ atau ‘lebih kurang’ di sini. Di Malaysia, golongan profesionalnya pun belum tentu PROFESIONAL! Jika saya termasuk dalam golongan profesional yang tidak profesional maka saya berdoa moga Allah ampunkan saya dan saya akan berubah apabila kembali nanti, Amin…

8.Sistem pembuangan sampah sangat efisien dan sistematik. Anda tidak akan menemui sampah dibuang merata atau sampah termuntah dari tangkinya. Ini kerana tong-tong sampah besarnya ditempatkan di setiap 5 langkah berjalan kaki. Namun agak memualkan apabila lorong-lorongnya dipenuhi najis anjing yang menjadi haiwan peliharaan popular di sini. Malah ramai pasangan yang lebih selesa membela anjing daripada memiliki anak sendiri. Bagi mereka, najis haiwan tersebut tidak kotor dan membelanya tidak memeningkan kepala berbanding memelihara anak-anak yang memberi pelbagai masalah.



Ah, kalau nak disenaraikan memang terlalu banyak keunikan di sini. Jika anda mempunyai wang dan masa, berkunjunglah ke Valladolid ini dan nimatilah segala keunikkannya yang tidak mungkin akan tuan-tuan temui di negara kita.


Sesungguhnya aku, umpama seekor itik yang kecil dan perlahan berada dalam kalangan kuda yang tinggi dan tangkas. Aku di sini bukan untuk menjadi kuda tetapi untuk meningkatkan keitikkanku. Besok, bila aku kembali ke rebanku, aku tetap seekor itik yang tidak mungkin menjadi kuda. Tetapi, segala adaptasi dan modifikasi yang berlaku dalam usahaku untuk hidup dengan kuda, itulah yang paling mahal dan berharga. Dan itulah sebenarnya Phdku!

Ah, negara orang memang indah. Orang-orangnya pun menarik. Penuh dengan keunikan. Namun, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, jauh lebih baik negara sendiri. Apatah lagi jika yang turun di negara orang hanyalah hujan salji, sebaliknya yang mencurah di negara sendiri adalah hujan permata. Aku rindu pada tanah airku dan orang-orangnya. Tapi apakan daya hendak menangis tiada upaya kerana, … air mataku beku di Valladolid!

Sekian, salam sayang, salam rindu buat semua. AdÍos…



No comments: